Salam Asyura. Di ketika ini, ana berada di Lapangan Terbang Doha, Qatar, sedang menanti pesawat ke Kaherah. InsyaAllah tiba di Kaherah pada jam 2.30 petang waktu Mesir (8.30 malam Malaysia). Terasa baru sahaja menjejakkan kaki di sini sedangkan empat bulan masa sudah berlalu. Kali terakhir ana berada di Lapangan Terbang yang sederhana ini, ketika pulang ke Singapura dari Mesir. Ketika itu negara ini sedang sibuk mengatur urusan persiapan Sukan Asia 2006, kali pertama sebuah negara Arab menganjurkan temasya sukan sebesarnya. Entahlah apa nak dikata akhir zaman ini.
Dengarnya juga, negara ini sedang berlumba-lumba menyaingi Dubai dalam menarik pelaburan antarabangsa. Sedih juga mendengar kebanyakan pelabur luar hanyalah non-muslim, yang mengaut keuntungan di Jazirah Arab ini. Pengurusan kargo di Lapangan Terbang ini pun dengarnya diuruskan oleh sebuah syarikat besar dari Singapura. Malang sekali apabila umat Islam yang diajar supaya bantu-membantu, malah bidang perniagaan amat digalakkan oleh Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam sendiri. Kini kta sibuk bertelagah akan sekte dan ajaran mana yang paling tepat dalam Islam, sedangkan musuh berlumba-lumba mengaut keuntungan dari muka bumi kita sendiri. Pelaung tajdid sibuk dengan teori mereka, sambil membid'ahkan orang lain. Syiah pula sibuk mengutuk sahabat zaman berzaman dan memukul badan sendiri pada hari asyura yang mulia ini. Bilakah Ummat Islam akan "tertajdid" dan akan menyesali peristiwa pembunuhan Sayyiduna Husin Radhiyallahu 'Anh jika keadaan ini berterusan?
Aturan Allah menetapkan silih masa berlalu tanpa kita sedari. Teringat kata-kata Imam Al-Ghazali di dalam Bidayatul Hidayahnya, keberkatan waktu itu hanya akan terserlah dengan pengurusannya yang betul. Al-Imam Al-Ghazali telah menjelaskan dengan sejelas-jelasnya pengurusan waktu (time management) yang cantik lagi sempurna dalam Islam. Semoga kita dapat mempraktikkannya moga mendapat keberkatan pada setiap tingkah laku kita.
Semoga Hari Asyura ini membawa keinsafan kepada kita akan makna bersatu padu yang dituntut dalam Islam dan betapa merbahayanya perpecahan dalam Islam.
Doakan ya!