Masih berbaki seminggu kita di dalam bulan kelahiran kekasih kita junjungan besar Sallallahu Alaihi Wasallam. Perbanyakkanlah selawat ke atas baginda dan marilah tanamkan azam untuk membalas cinta baginda buat umatnya dengan sebaiknya serta menyuburkan ingatan bahawa baginda masih lagi hidup di dalam hati kita. Orang Arab kata "Hayyun Fi Qulubina".
Bagai seorang kekasih yang sentiasa merindui kekasihnya, sentiasa teringat dan terbayangkannya, terkenangkan detik manis bersamanya, dan sekaligus cuba untuk melakukan yang terbaik buat meraih balasan kasih sayangnya, begitu jugalah selayaknya kita dengan kekasih pujaan hati kita semua Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Sollu 'Ala Nabiyyikum!
Lama tak menulis di blog ini. Rindu juga sebenarnya untuk menyambung tinta sebagai mengikuti jejak para salafunassoleh. Pelbagai keadaan menyebabkan blog ini terbiar begitu sahaja. Paling utama, kerana tiada talian internet di rumah. Ke "cyber cafe" hanya sekali sekala dan dalam waktu yg singkat dan tergesa-gesa sahaja. Banyak kebaikan sebenarnya bila berjauhan dengan dunia internet ini. Namun apapun, Allah jua yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita.
Dalam pengajian kitab Nailurraja' di Rumah Selangor, Kaherah semalam, ana ditanya persoalan berkaitan wanita membuka aurat dalam perubatan alternatif (nanti ana tuliskan hukumnya, insyaAllah), seterusnya berkenaan berhiasnya seorang pengantin perempuan di khalayak ramai (khasnya cubaan mengubah keadaan baik sebelum ini, pelajar Malaysia di Mesir yang berkahwin di sini dalam syariat yang cukup terjaga dengan datangnya unsur-unsur yang tidak sihat).
Dalam ana menjawab persoalan-persoalan tersebut ana teringatkan istilah "ghirah" atau cemburu yang sedang sirna di kalangan ummat Islam, sedangkan perasaan ini pernah membawa kejayaan umat Islam membuka Al-Quds dari tentera salib di bawah pimpinan Salahuddin Al-Ayyubi. Cemburu yang ana maksudkan di sini adalah cemburunya seorang Muslim apabila melihat aurat Muslimah lain terdedah di sini sana untuk tatapan, bak daging yang tersalai sedia untuk dijamah.
Tidak tersentuhkah perasaan kita apabila melihat Muslimah lain (lebih lagi jika ahli keluarga kita), dijamah begitu sahaja aurat mereka yang dihiasi oleh pakar segala andaman, Syaitan yang direjam, dengan pandangan yang ditajamkan pula oleh panahan Syaitan? Realitinya, ada yang berbangga pula dengan kecantikan Muslimahnya menjadi tontonan khalayak. Natijahnya berjayalah jarum halus yang dicucuk oleh Syaitan dibantu oleh gerakan Freemason sedunia yang ingin merosakkan Muslimin sedayanya.
Semalam juga sempat ana "berchatting" dengan seorang adik yang menyentuh budaya Tagging, Friendster, MySpace dan sebagainya yang menjadi budaya remaja dunia. Pada masa yang sama ana membuka blog Akhi Tawel (The Forgotten Lessons) dan Subhanallah, Akhi Tawel juga membicarakan hal yang sama! Sudah lama ana memikirkan perkara yang sama, dan memerhatikan budaya ini. Tentu sekali banyak perkara di dunia ini bak pisau boleh digunakan untuk kebaikan dan keburukan. Tanggungjawab kita pula sebagai mukallaf untuk mengambil kebaikan dan menjauhi keburukannya.
Sayangnya, jiwa yang sudah rosak mudah cenderung kepada keburukan daripada kebaikan. Maka jadilah Friendster dan sebagainya, alat "ikhtilat" moden dan membudayakan hubungan bukan mahram tanpa batasan. Hatta "Azhariah" yang cukup berjaga-jaga dengan ikhtilat pun, bersama-sama merancakkan lagi budaya ini, meletakkan pula gambar-gambar yang selama ini cukup dijaga, untuk tatapan dunia.
Biasanya wanita cukup berjaga-jaga dari memberi orang lain gambarnya. Tapi kini seisi dunia boleh melihat dan mengambil gambar mereka tanpa batasan. Fitnah ini melanda semua masyarakat dunia tanpa disedari atau dipedulikan. Kalau kita katakan zaman ini zaman moden, maka sedarilah sesungguhnya syaitan itu akan cuba sedayanya juga memodenkan segala jarum tipu muslihatnya sesuai dengan zaman ini.
Sama-samalah kita dalam bulan kelahiran kekasih ini, melahirkan semula rasa keimanan kita kepada Allah, kecintaan kita kepada Rasul-Nya, cemburunya kita terhadap apa yang dilakukan oleh dan terhadap Muslimin dan Muslimah kita, dalam usaha meraih Redha Allah. Salam Bulan Kelahiran Kekasih. Sollu 'Alal Habib...
Rumah Istimewa, Hayyu Sabiek, Kaherah...