Imam Al-Bukhari rahimahullahu ta'ala meriwayatkan di dalam kitab Sahihnya, dan Imam Muslim rahimahullahu ta'ala meriwayatkan juga dalam kitab Sahihnya daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'Anhu daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam baginda bersabda:
Allah Azza Wajalla telah mencipta Adam dengan rupa bentuknya, tingginya 60 hasta. Maka apabila telah dicipta, Allah berfirman: Pergilah dan ucapkanlah salam kepada mereka (beberapa malaikat yg sedang duduk), maka dengarlah apa yang akan mereka ucapkan salam penghormatan kepada kamu. Sesungguhnya itulah salam penghormatan buatmu dan keturunanmu. Adam bersabda: Assalamu 'Alaikum. Maka mereka (malaikat) menjawab : Assalamu 'Alaikum Warahmatullah, dengan menambah kalimah 'Warahmatullah'. Maka setiap yang memasuki syurga dengan rupa bentuk Adam, dan manusia semakin kecil selepas daripadanya sehingga sekarang.
Para ulama' pada mensyarahkan hadis ini telah berkata: Firman Allah "Pergilah dan ucapkanlah salam kepada mereka dan dengarlah ucapan salam penghormatan mereka padamu" menunjukkan bahawa mereka berada berjauhan daripada Adam Alaihissalam. Ia menjadi dalil kepada istihbabnya bermusafir untuk mendapatkan ilmu, dan Adam Alaihissalam merupakan manusia pertama yang berjalan untuk menuntut ilmu.
(Petikan Bahagian Pertama, Kitab Sofahat Min Sobril Ulama', Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah).
Apabila kita ditimpa futur, lemah atau bosan dalam perjalanan ilmu, dakwah dan perjuangan kita, kenangkanlah bagaimana Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan kita berjalan dan bersusah payah untuk mencari secebis ilmu, serta betapa bersusah payahnya para ulamak' terdahulu mencari, mengumpul kemudian menyebarkan ilmu pengetahuan.
Al-Habib Kazim bin Ja'far Asseggaf menceritakan kepada kami, kisah seorang alim yang ditimpa sedikit kebosanan ketika mengulangkaji ilmu. Beliau merehatkan diri sebentar tanpa melakukan apa-apa. Tiba-tiba beliau ternampak seekor serangga mendaki dinding di hadapannya, namun terjatuh setiap kali cuba naik ke atas. Dilihatnya serangga itu tidak berputus asa tetapi terus berulangkali mencubanya. Panjat jatuh lagi. Panjat, namun jatuh lagi. Dilihat dan dilihat sehingga 400 kali ia memanjat akhirnya sampai jua ke atas. Lantas beliau terfikir, adakah aku ingin menjadi lebih buruk dan rendah martabatnya dari serangga tersebut, sehingga baru beberapa kali mengulangkaji sudah jemu dan bosan, lantas berehat sahaja?
Al-Habib juga menasihati supaya sentiasa berlindung diri daripada Syaitan yang merupakan faktor utama lemahnya seseorang dalam pencarian ilmu. Inilah sebabnya jarang sekali seseorang itu bosan dalam permainan dan riadahnya, tetapi cepat sahaja bosan dalam pengajian. Selain itu, beliau menyebutkan adalah menjadi lumrah bagi seorang manusia biasa untuk bosan atau jemu dalam pengajian, akan tetapi beliau mengingatkan agar jangan sekali-kali menjadikannya sebagai kebiasaan atau satu perkara yang berterusan bagi kita.
Antara langkah yang perlu diambil adalah, berpindah kepada subjek atau perkara yang kurang memerlukan tumpuan mental, serta mengingati hasil usaha dan penat lelah insan lain yang telah berjaya untuk dijadikan teladan. Contohnya ingatkan diri kita bagaimana para ulama' dahulu menggunakan dakwat dan pena berhasil menulis berpuluh jiid kitab, sedangkan kita di zaman sains dan teknologi yang serba mudah ini, satu lembaran pun amat payah dihasilkan.
Seperkara yang penting juga adalah tidak berdiam diri tanpa melakukan apa jua perkara. Sekurang-kurangnya, kata beliau, duduklah berfikir. Berfikirlah akan apa jua perkara yang bermanfaat untuk diri kita dan ummat Islam. Gunakan akal fikiran dan gerakkan ia. Sekurang-kurangnya jika tidak mahu juga berfikir dan belajar, lakukan apa jua perkara walaupun ia sudah menjadi rutin kebiasaan atau perkara yang kita lihat seolah-olah terlalu remeh, seperti menyapu rumah dan melipat kain baju. Sekecil-kecil perkara ada manfaatnya buat diri dan akal kita, tanpa kita sedari. Yang penting kita tidak duduk termenung menompang dagu tanpa melakukan apa jua.
Semoga Allah Ta'ala memberikan kita kekuatan untuk terus dalam perjuangan ini, melindungkan kita daripada gangguan syaitan agar tidak futur dan lemah apatah lagi bosan dalam pencarian ilmu serta mengembangkannya dalam rangka mencapai redha Allah.
Bersama Al-Habib Kazim Asseggaf
Posted at 02:09 pm by aljoofre
 |  |  |
Nzlaa July 1, 2007 11:18 PM PDT
Terima kasih. Satu motivasi utk diri ini. |
 |

 |  |  |
zlaa July 2, 2007 05:33 PM PDT
Salam. Indah sungguh ya pencarian ilmu di sana. Di sini, jika tidak tahu, bertanya, akan ditanya kembali. Harus mencari dan mencari. Alangkan indah dapat berdiskusi, menceduk pengalaman dari guru-guru yang arif. Mudahan saat itu akan ada. |
 |

 |  |  |
Aljoofre July 11, 2007 10:56 PM PDT
Alhamdulillah. Apapun, di mana jua kita berada, yg penting diri kita jugak. Kalau inginkan kebaikan, ada saja jalan Allah tunjukkan, di mana jua kita berada, insyaAllah. Kalau inginkan kejahatan, wal-'iyadzubillah, ada saja hatta di tempat2 mulia.
Kita mohon banyak2 dari Allah diistiqmahkan dlm majlis2 ilmu yg barakah. Mudahan saat2 yg terbaik buat kita itu hadir dan kita berterusan di dalamnya. Amiin |
 |

 |  |  |
nurazzah8 July 25, 2007 11:27 AM PDT
Salam. Membaca n3 ini seakan mengejutkan saya kembali agar terus bertekad dan menguatkan lagi usaha agar dapat menhabiskan menulis thesis Phd saya. Tempoh belajar sudah tamat, sudah kembali bekerja, namun penulisan thesis mesti dihabiskan..kadang kala terleka dan terlalai, muhasabah diri perlu sentiasa. Pernah terfikir kenapalah susahkan diri sambung belajar, sbg seorang ibu anak 8, berkerjaya lagi sementelah selalu ditinggal suami kerana kerja luar negara. Tapi bila baca tulisan seperti diatas, hati rasa terubat dan segera ishtighfar... IA semoga ALlah permudahkan jalan pencarian ilmuku hingga ke akhir...Amin. |
 |