
AL-HABIB ABDULLAH BIN HASAN ASSYATRIE
Pada hari Selasa, 23 Rejab 1420 bersamaan 2 November 1999, telah kembalilah ke rahmatullah Al Habib Al Ustaz Abdullah bin Hasan Assyatrie di Singapura. Ini merupakan satu lagi peristiwa yang menyedih dan mengingatkan kita dengan hadis bahawa Allah s.w.t. akan mengangkat ilmu dengan meninggalnya alim ulama'
Al Habib Abdullah bin Hasan bin Husin bin Abdullah Assyatrie dilahirkan di kota Dammun di Hadhramaut pada tahun 1328 H (1910 M). Ibu beliau ialah puteri kepada Al Habib Hasan bin Ahmad bin Husin bin Abdullah Al Idrus. Semenjak kecil lagi beliau telah diasuh oleh kedua ibu bapanya dan dimasukkannya ke Maktab Ta'lim Al Quran semasa berumur 4 tahun.
Sebelum mencapai umur 6 tahun, beliau telahpun khatam Al Quran dan seterusnya dihantar ke Madrastul Haq di kota Tarim. Seterusnya beliau meneruskan pengajian di Rebat Tarim dan qubah Abdullah bin Shaikh Al Idrus dan zawiyah As Syeikh Ali dan juga majlis-majlis roha yang dipimpin Al Habib Abdullah bin Umar Assyatri, Al Habib Abdullah Idrus Al Idrus dan Al Habib Ali bin Abdul Rahman Al Mashor. Beliau juga menghadiri pengajian di rumah Al Habib Alwi bin Abdullah bin Shahab.
Pada tahun 1350 H (1932 M), ketika berumur 22 tahun, Al Habib Abdullah berangkat ke Makkah menunaikan haji dan umrah serta tinggal selama lebih kurang 3 tahun di tanah suci. Dalam tempoh tersebut beliau mendalami lagi ilmu agama dengan beberapa para ulama' yang masyhur di Tanah Suci ini. Untuk menampung sara hidup, beliau berniaga di sebelah paginya.
Pada tahun 1355 H (1936 M), di atas nasihat ayahnya, beliau berhijrah ke Tanah Melayu. Kemudian berhijrah pula dan menetap di Singapura dan di Brunei.
Al Habib Abdullah yang pada dadanya penuh dengan ilmu menghabiskan umurnya di dalam usaha pendidikan dan penyelidikan. Selama dua puluh enam tahun beliau bertugas di beberapa institut pelajaran Islam. Di antaranya di Madrasah Al Attas Johor Bahru, Madrasah As Saggoff Al Arabiyah dan Madrasah Al Khairiah Al Islamiah di Singapura. Beliau juga merupakan salah seorang daripada lima pengasas Persatuan Al Wehdah Al Arabiyah di Singapura.
Kemudian pada tahun 1387 H (1967 M), beliau telah diminta untuk mengajar di Madrasah Hasan Al Bolkiah Arabiyah di Brunei dan kemudiannya pada tahun 1399 H (1978 M), beliau bertugas sebagai penyelidik / penterjemah Bahasa Arab di Pusat Sejarah Brunei. Beliau bersara pada tahun 1410 H (1989 M) selepas berkhidmat selama 22 tahun dan juga menerima Pingat Kebesaran Negara Brunei Darussalam sebelum pulang ke Singapura.
Al Habib Abdullah tidak suka menonjolkan diri dan hidup dengan serba sederhana. Beliau telah diasuh oleh bapanya sendiri untuk beribadah bersamanya kepada Ilahi sejak kecil lagi. Bibir beliau sentiasa bergerak dengan zikrullah. Maka telah menjadi amalan biasanya untuk memulakan ibadahnya dari sebelum jam tiga pagi pada setiap hari dengan sembahyang-sembahyang nawafil, diikuti dengan bacaan Al Quran dan doa munajat khas selama dua puluh minit sebelum terbit waktu fajar. Beliau menyambung bacaan wirid selepas sembahyang qabliah dan juga selepas sembahyang Subuh. Setelah itu tidur sebentar sebelum bangun untuk mengerjakan sembahyang dhuha.
Amalan ini biasa dilakukan terus menerus walaupun pada masa beliau sakit dan diletakkan di dalam wad hospital. Makan paginya ringan dan dimulakan dengan tujuh biji kurma ajwa dengan air zam zam, manakala makanan malamnya hanya dengan dua atau tiga keping roti yang dicicah denagn lauk berulamkan lobak merah. Pada waktu yang lain beliau banyak menumpukan masanya pada mentelaah kitab, menulis dan mengajar secara persendirian kepada masyarakat umum.
Walaupun Al Habib Abdullah telah bekerja selama lebih daripada setengah abad, beliau tidak menyimpan harta. Apa yang ada, dibelanjakan untuk menampung biasiswa pelajar agama secara tersembunyi dan mencetak buku-buku karangan beliau yang diedarkan secara percuma.
Apabila beliau kembali ke rahmatullah, jenazahnya secara hadir atau ghaib, disembahyangkan oleh puluhan ribu orang di Singapura, Semenanjung Malaysia, Sarawak, Sabah, Brunei, Palembang, Selatan Filipina dan di Jeddah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau di kalangan para syuhada' dan solehin. Amin.
Di antara guru-gurunya di Hadhramaut:
Al Habib Abdullah bin Umar As Syatrie
Al Habib Alwi bin Abdullah bin Shahab
Al Habib Ali bin Husin bin Shahab
Al Habib Abdullah bin Idrus Al Idrus
Al Habib Abdul Bari bin Syeikh Al Idrus
Al Habib Abu Bakar Asree
Al Habib Muhammad bin Hashim Bin Tahir
As Syeikh Abdullah bin Said Hassan
As Syeikh Salam bin Said Bakir
As Syeikh Umar Ad Dawilah
Di antara guru-gurunya di Makkah:
Al Habib Idrus bin Salim Albar
Al Habib Abu Bakar bin Salim Albar
Al Habib Abu Bakar bin Ahmad Alhabsyi
Al Habib Alwi bin Abbas Al Maliki
Al Habib Muhammad Amin Al Kutbi
As Syeikh Umar Bejenaid
As Syeikh Umar Hamdan
As Syeikh Khalifah Al Bahani
Di antara guru-gurunya di Johor:
Al Habib Alwi bin Tahir Al Haddad
Al Habib Muhammad bin Hasan Bin Shahab
Ribuan telah menjadi anak murid Al Habib Abdullah. Antara yang mendapat manfaat daripada ilmu beliau adalah:
Dato' Ahmad Awang (Bekas Mufti Johor)
Dato' Ahmad Alwi Adnan (Mufti Sabah)
Syed Isa Bensemait (Mufti Singapura)
Pehin Dato' Muhammad Zain (Menteri Agama Brunei)
Pehin Dato' Yahya Ibrahim (Timbalan Menteri Agama Brunei)
Al Ustaz Abu Bakar Hashim (Presiden Mahkamah Syarie Singapura)
Awangpun Awangsibun (Ketua Hakim Syarie Sarawak)
Dato' Anis Abut (Yang Dipertua Majlis Agama Islam Sarawak)
Almarhum Al Ustaz Abdillah Aljufri (Bekas Pengetua Madrasah Aljunid Al Islamiyah Singapura)
Al Ustaz Ahmad Sonhaji Muhammad (seorang ulamak Singapura)
Almarhum Dr Burhanuddin Helmi
Almarhum Tan Sri Syed Jaafar Albar
Almarhum Usman Said (bekas Menteri Besar Johor)
Antara karangan-karangan beliau:
i. Ringkasan sejarah Islam
ii. Huraian Pada Masalah Perselisihan Empat Mazhab
iii. Risalah Addin Nasihah
iv. Kisah Al Isra' dan Al Mi'raj
v. Rahsia-rahsia Ratib Al Haddad
vi. Hukum Haidh dan Istihadhah
vii. Ad Durus Fardiah fil Mirats
viii. Manzumah Tashil Ifadah bima lil Ibadah
ix. Jadual fi I'rab "la" annafiah almukarrarah
x. Al Irshad Fi Asrar Wa Fawaid Ratib