Apabila seekor singa mengaum, orang yang mendengar pasti rasa gerun. Walaupun singa yang mengaum dikurung dalam kandangnya atau singa tersebut tiada gigi. Apa lagi kalau singa tersebut ada kemampuan untuk mencederakan kita atau terus 'ngap' kita.
Ana terbaca dalam akhbar baru-baru ini, kerajaan Singapura telah meluluskan cadangan membina dua buah kasino bernilai berbilion Ringgit. Tindakan tersebut, seperti yang kita faham, dicadangkan sendiri oleh Perdana Menteri Singapura (yang ketiga), yang juga anak kepada Perdana Menteri Pertama serta bapa Singapura, Tan Sri Lee Kwan Yu. Katanya bagi menyaingi negara-negara Asean lain yang sudah lebih ke depan dari mereka (mugkin dalam bab perjudian?)
Selain itu Tan Sri Lee Kwan Yu (yang masih boleh berfikiran ligat, walaupun usianya yang lebih tua dari Tun Mahathir) pula dipetik sebagai berkata, antara yang paling beliau kesali ialah beliau tidak membina kasino di Singapura 30 tahun lalu, kerana bimbangkan keruntuhan moral (mungkin kalau bina sekarang tak runtuh moral, ataupun, walaupun tak bina 30 tahun lepas, moral muda-mudi mereka dah pun runtuh sekarang?).
Kita baca semua kenyataan tersebut hanya dengan tersenyum sahaja, memandangkan ia adalah hujah atau teori mereka yang hanya bertuhankan dunia dan tidak beragama. Selain itu ia adalah teori mereka dalam membangunkan negara mereka, yang ana rasa tak perlu ana masuk campur. (Isteri ana kata, jaga-jaga cakap pasal Lee Kwan Yu, nanti dia 'sue' ;-) )
Tapi apa yang ana pelik adalah, segelintir golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai 'pemuda' di negara kita, yang mengkritik tindakan tersebut kerana dikatakan boleh menjejaskan juga moral masyarakat Malaysia. Pelik bukan kerana kebimbangan mereka tersebut, tetapi pelik kenapa pula mereka (yang sebahagiannya ada kuasa yang besar dalam negara) tidak pernah membantah kasino terbesar di negara kita, yang menjadikan pemiliknya orang terkaya di Malaysia sejak sekian lama? Bukankah impaknya adalah lebih besar pada masyarakat Islam Hadhari kita, dari sebuah dua kasino di negara jiran? Ingatlah antara punca utama keruntuhan masyarakat adalah pada perjudian yang sentiasa diindahkan dan digalakkan oleh Syaitan.
Janganlah kita nampak seekor singa di seberang Tambak Johor, tetapi kurang nampak atau rabun pada sebuah bukit besar di tempat sendiri. (Mungkin singa tersebut boleh menjejaskan orang yang nak naik ke bukit kita, itu yang kita bimbangkan walaupun dia berada di seberang laut? ;-) )
Salam dari Kota Singa...