Petikan jawapan Al-Imam An-Nawawi terhadap persoalan syiah pada isu menyapu atau membasuh kaki dalam wudhu'.
Di sini ana memetik kalam Al-Imam An-Nawawi dalam Kitab Majmu'nya yang terhebat, juzuk 1, Kitab Taharah, Bab Sifatil Wudhu', pada mensyarahkan matan Muhazzab yang berbunyi :
Berkata Musannif (Rahimahullah) : Kemudian membasuh dua kaki, dan ia merupakan fardhu berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Jabir bahawa Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam mengarahkan kami jika kami berwudhu' agar membasuh kedua kaki.
Imam An-Nawawi (Rahimahullah) berkata:
(Adapun hukum bagi masalah ini), telah sepakat ummat Islam pada kewajipan membasuh kedua belah kaki, dan tidak bercanggah pada perkara ini di sisi mereka yang kita ambil kira pendapatnya. Begitulah yang disebutkan oleh Syeikh Abu Hamid dan yang lain.
Dan berkata Syiah, wajib menyapunya.
Dan diriwayatkan oleh Ashab Syafie dari Muhammad bin Jarir bahawa ia merupakan satu pilihan antara membasuh atau menyapunya. Diriwayatkan juga begitu oleh Al-Khattabi dari Al-Jubba-i dan Muktazilah
Dan sebahagian ahli zahir pula mewajibkan kedua-dua basuh dan sapu.
Hujah Syiah
1) Dan telah berhujah mereka yang mengatakan supaya menyapu sahaja dengan firman Allah Ta'ala:

Dan sapulah kepala-kepala kamu dan kaki-kaki kamu.
Mereka berhujah dengan bacaan 'jar' (arjulikum) yang merupakan salah satu dari qiraat yang tujuh. Maka disandarkan apa yang disapu (kaki) atas apa yang disapu (kepala).
2) Mereka juga telah membahagikan anggota wudhu' yang empat kepada dua bahagian: dua yang dibasuh dan dua yang disapu.
3) Diriwayatkan juga dari Anas bahawa beliau mendengar Hajjaj berkhutbah dan menyebut: Allah Ta'ala memerintahkan kita supaya membasuh muka, dua tangan dan membasuh kaki. Maka Anas berkata: Benarlah firman Allah dan menipulah Hajjaj, lantas membaca ayat di atas dengan qiraat tersebut.
4) Dan dari Ibn Abbas bahawa beliau berkata, ianya dua basuhan dan dua sapuan.
5) Dan dari beliau juga, Allah memerintah menyapu dan akan datang manusia akan membasuh.
6) Dan dari Rifa'ah pada hadis orang yang rosak solatnya, Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: Sesungguhnya tidak sempurna solat seseorang dari kamu sehingga dia menyempurnakan wudhu'nya seperti yang diperintahkan Allah Ta'ala, maka baginda membasuh muka dan tangan, serta menyapu kepala dan kaki.
7) Dan dari Ali Radhiyallahu 'Anh, sesungguhnya beliau berwudhu', lalu beliau mengambil air dan merenjisnya ke atas kakinya yang kanan, sedang padanya kasut. Begitu jua dilakukan pada kaki kirinya.
8) Dan hujah mereka lagi, kaki merupakan anggota yang gugur pada tayammum, maka difardhukan menyapu sahaja seperti kepala.
Hujah bagi Ahlu Sunnah
Dan ashab kita berhujah dengan hadis-hadis sahih yang terlalu banyak pada sifat wudhu' nabi Sallahu 'Alaihi Wasallam bahawa baginda membasuh kaki baginda.
Antaranya ialah hadis Usman, hadis Ali, hadis Ibn Abbas, Abi Hurairah, Abdullah bin Zaid, Ar-Rubaigh binti Mu'awwiz, 'Amru bin 'Abasah dan lain-lain lagi dari hadis-hadis masyhur pada kedua-dua kitab sohih dan kitab-kitab yang lain.
Antaranya ialah apa yang sabit dalam kedua-dua kitab sohih, bahawa Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam melihat sekumpulan manusia berwudhu' dan tertinggal buku lali mereka yang tidak terkena air, maka baginda bersabda: Neraka Wail bagi buku-buku lali (yang tidak terkena air wudhu'). Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari Riwayat Abdullah bin 'Amr bin Al-'As, serta diriwayatkan sepertinya oleh kedua mereka dari Abu Hurairah. Dan pada hadis ini penjelasan bahawa meliputi kaki dengan basuhan adalah wajib.
Dan dari Umar bin Al-Khattab Radhiyallahu 'Anh bahawa seorang lelaki berwudhu; dan meninggalkan sebahagian kakinya, dan dilihat oleh Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, lalu baginda bersabda "Pergilah dan perbaikilah wudhu'mu." Ia diriwayatkan oleh Muslim dari Amru bin Syuaib dari bapanya dari datuknya.
Seorang lelaki datang kepada Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan bertanya: "Wahai Rasulallah, bagaimana bersuci?" Baginda meminta air dan membasuh kedua pergelangan tangannya 3 kali………… kemudian beliau membasih kedua-dua kaki baginda 3 kali. Beliau bersabda: "Begitulah wudhu'. Siapa yang melebihinya atau mengurangi darinya telah salah dan menzalimi." Hadis ini sahih diriwayatkan oleh Abu Daud dan yang lainnya dengan banyak sanad yang sahih yang akan disebutkan nanti. Dan inilah antara dalil yang terbaik dalam masalah ini
Dan dari 'Amru bin 'Abasah pada hadisnya yang panjang dan masyhur bahawa Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Tidak seorang pun dari kalangan kamu yang berwudhu'………………..lalu membasuh kedua-dua kakinya melainkan gugur kesalahan-kesalahan kakinya dari hujung jari-jari kakinya bersama dengan air." Riwayat Muslim dengan lafaz ini. Dan dalam sebuah riwayat 'Amru bin 'Abasah berkata: "Aku mendengarnya dari Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam lebih dari 7 kali.
Dan bekata Al-Baihaqi, kami meriwayatkan hadis sahih dari 'Amru bin 'Abasah dari Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam pada hal wudhu' "kemudian baginda mencuci kedua-dua kaki baginda seperti mana yang diperintahkan oleh Allah Ta'ala." Al-Baihaqi berkata: dan padanya petunjuk bahawa Allah Ta'ala memerintahkan mencuci kedua-duanya.
Dan dari Abi Hurairah bahawa Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam baginda bersabda: "Apabila berwudhu' seorang hamba muslim atau mukmin, lalu dia membasuh mukanya, keluarlah dari mukanya segala kesalahan……….dan apabila dia membasuh kedua-dua kakinya keluarlah segala kesalah yang dilalui oleh kedua-dua kakinya dengan air, atau dengan titisan air yang terakhir, sehingga dia suci dari dosa-dosa." Riwayat Muslim.
Dan dari Laqit bin Sabrah bahawa Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Dan selakan antara jari-jemari." Ia adalah hadis sahih yang telah diterangkan dalam fasal berkumur, dan akan diulang lagi dalam bab menyela jari, dan ia menjadi dalil pada membasuh.
Dan hadis pada masalah ini terlalu banyak. Apa yang telah disebutkan telah mencukupi.
Dan berkata Ashab kami, kerana keduanya (kaki) merupakan anggota yang dihadkan bahagiannya, maka wajibnya adalah membasuh seperti tangan.
Bersambung : Jawapan kepada hujah-hujah Syi'ah. Sila klik "
Next Entry" di bawah untuk ke bahagian seterusnya.
Posted at 04:48 pm by aljoofre
 |  |  |
Guest January 21, 2007 11:41 AM PST
Baik arjulakum atau arjulikum..kedua-duanya disapu |
 |

 |  |  |
aljoofre January 21, 2007 06:26 PM PST
Ahlan wasahaln dhaif..
Sebaliknya, baik arjulakum mahupun arjulikum keduanya membawa makna membasuh bukan menyapu seperti yg dikelirui oleh Syiah..
Wallahu A'lam |
 |

 |  |  |
aljoofre January 21, 2007 06:27 PM PST
Sia rujuk ke bahagian kedua tulisan ana. Tekan "Next Entry" |
 |

 |  |  |
aljoofre October 19, 2007 01:16 AM PDT
Waalaikumussalam
Pertamanya mengusap telinga saat wudhu' hukumnya sunnah.
1. Menyapu dgn ibu jari di sebelah luar telinga, dan jari telunjuk di sebelah dalam, digerakkan dari bahagian dalam di liku2 telinga, kemudian digerakkan ibu jari dari bawah ke atas.
2. Bahagian dalam, yang ada liku2, manakala bahagian luar, di sebelah belakang.
Wallahu A'lam |
 |

 |  |  |
ummi December 31, 2007 01:37 PM PST
assalamualaikum..pernah seorang ustaz mengatakan tidak sah wuduk jika membasuh kaki hanya dibawah pancuran air tanpa menggosoknya dgn tangan..benarkah? bagaimana pula jika sesorang itu tidak dapat membongkok utk menggosok kakinya.. |
 |

 |  |  |
Aljoofre December 31, 2007 11:12 PM PST
Waalaikumussalam..
Sah wudhuk walaupun tak menggosok dengan tangan dgn syarat air dapat dibasuh dengan rata meliputi seluruh anggota kaki tersebut. Menggosok dengan tangan hukumnya sunnah.
Jika tak dapat meratai melainkan perlu digosokkan dengan tangan, barulah wajib gosok dengan tangan. Jika tak mampu dlm keadaan berdiri, maka duduklah. Jika tak mampu juga maka carila cara lain yang termampu.
Wallahu A'lam |
 |

 |  |  |
Simple to understand January 10, 2013 05:32 PM PST
أللهم انصر الاسلام والمسلمين واخذل الكفار والمنافقين وعبد القادر الجفري |
 |

 |  |  |
Simple to understand January 10, 2013 05:35 PM PST
Allahummansuril islama walmuslimin, wakhzulil kuffara wal munafiqin waabdal qadir aljofree |
 |

 |  |  |
simple to understand January 11, 2013 06:57 PM PST
maaf, jangan salah sangka..saya ATAFkan awak kepada yang jauh nun diawal (muslimin)..bukan kepada yang paling dekat iaitu disebelah awak tu (munafiqin)..jgn salah faham ye..nanti awak ingat saya dokan yang tak baik untuk awak pulak :) |
 |