Nampaknya, isu perjudian di negara kita semakin hari semakin serius. Seolah-olah judi bukannya isu besar atau perbuatan yang amat dimurkai Allah. ("Alahai, bukannya aku tipu atau bunuh orang, aku guna duit aku sendiri")
1. Sedangkan di dalam Al-Quran dan Hadis begitu jelas dikhabarkan pengharamannya yang pasti, malah ia termasuk dalam perkara yang wajib diketahui oleh setiap orang Islam (
Ma'lum minaddin biddharurah).
Ketika ana di Malaysia dahulu, ana terlihat seorang 'pak lebai'
2 meletakkan motor di depan kedai nombor ekor. Di atas motor terlihat anaknya memakai pakaian sekolah rendah. Ana lalu di depan kedai tersebut, dan melihat 'pak lebai' tadi sedang beratur untuk membeli nombor ekor. Terfikir, apakah impak dan natijah ke atas anak tersebut, atas perbuatan ayahnya tersebut?
Dahulu ana sempat menemuramah seorang pakcik yang turut membeli nombor ekor. Ana menyentuh bahawa di belakang nombor ekor tersebut ada ditulis dengan nyata: Judi adalah haram di sisi Islam. Dia katakankepada ana dengan bersahaja, "Dahulu ada Perdana Menteri kita mempunyai hobi judi lumba kuda, sedangkan dia Pengerusi OIC. Kita ikut dialah".
Tersenyum ana, seolah-olah pengerusi OIC itu jawatan bagi seorang Syaikh yang terhebat dalam ummat Islam pula, sehingga perbuatannya menjadi sunnah. Namun begitu risau akan nasibnya bila memikirkan hadis nabi, siapa yang memulakan sunnah yang buruk, maka dia akan menerima bukan sahaja balasan bagi perbuatannya, tetapi juga perbuatan semua yang mengikutinya tanpa dikurangkan sedikit pun. Begitu bahaya tugas seorang pemimpin ya.
Dahulu kita menyangkakan yang berjudi hanya orang yang benar-benar jahil tentang agama sahaja (walaupun ia tak boleh sama sekali dijadikan alasan baginya). Sekarang kita lihat pak lebai juga berjudi. Datuk dan Datin juga berjudi rupanya.
Dahulu kita lihat hanya sesetengah golongan sahaja yang berjudi. Sekarang kita lihat, setiap lapisan generasi masyarakat, tak kira lelaki dan perempuan, tua dan muda, kaya dan miskin, pemimpin dan rakyat jelata, semua ada yang berjudi. Malahan di bulan Ramadhan juga ada ummat Islam yang berjudi.
Dahulu mungkin nilai hutang akibat perjudian hanya berpuluh atau paling banyak beribu ringgit. Kini bukan sejuta dua, tetapi menjangkau lebih RM30 juta (mungkin lebih banyak lagi)(
How Osu frittered away those millions). Malah seorang wanita muslimah berpangkat datin pula berhutang RM14 juta. (
At least 10 other M’sians are big debtors). Tak cukup berjudi di negara kita (khasnya di atas bukit tak jauh dari rumah ana, yang mungkin masih kurang berprestij), kini terbang ke luar negara, untuk berjudi di sana pula. Rakyat miskin terbiar, mereka berjudi berpuluh juta. Bukan seorang dua, tetapi ramai sekali. Tentu sekali yang berpangkat VVIP.
How casinos in London and Las Vegas roll out the red carpet for VVIPs
Betapa gembira syaitan melihat perangkapnya ke atas umat manusia mengenai sasaran. Sudah jelas dalam Al-Quran bahawa judi ini angkara syaitan, namun mengapa, hingga hilang akal dan kecerdikan (paling penting hilang iman) mencari sesuatu yang bersifat bukan sahaja tak pasti membawa keuntungan, malah hampir pasti menjemput kerugian? Tak lain, tentu sekali mata hati dan fikiran sudah dibutakan oleh dunia dan keindahannya.
Semoga Allah menjauhkan kita semua dan ummat Islam dari maksiat kepada-Nya dan memperbaiki urusan kita semua. Amiin.
Nota Kaki:
1) Dialog ini direka, berdasarkan realiti pemikiran sesetengah masyarakat kita.
2) "Pak Lebai" satu gelaran yang diberikan sestengah pihak kepada mereka yang berkopiah.
Posted at 03:58 am by aljoofre