Para ulamak biasa menyebutkan, sesiapa yang ingin memulakan jalan bagi mencari hidayah Allah Ta'ala, maka hendaklah membaca kitab Bidayatul Hidayah (Permulaan Hidayah) oleh Hujjatul Islam Imam Abu Hamid Al-Ghazali rahimahullah. Kitab ringkas yang disusun oleh beliau ini, amat besar faedahnya bagi penuntut ilmu dalam usaha mencari hidayah dan redha Allah Ta'ala.
Kata-kata Imam Al-Ghazali dalam muqaddimahnya bagi kitab ini amat sesuai bagi kita buat mengkoreksi semula niat kita menuntut ilmu, serta membetulkan tujuan kita mencari ilmu. Antara yang disebutkan oleh beliau ialah, pada mengingatkan kita bahaya niat yang salah dalam mencari ilmu:
"Sesungguhnya engkau jika menuntut ilmu dengan tujuan untuk bertanding kehebatan, bermegah-megah, mendahului rakan-rakan (dalam ilmu), mendapatkan perhatian atau pandangan manusia kepada engkau, atau mengumpul harta dunia, maka sesungguhnya engkau sedang menuju kepada meruntuhkan agama engkau, membinasakan diri sendiri, dan menjual akhiratmu dengan dunia, maka tentu sekali ia suatu urusniaga yang merugikan dan perniagaan yang binasa. Malah guru engkau sendiri yang membantu dalam kemaksiatan engkau serta bersekutu dengan engkau dalam kerugian engkau. Dia seperti seorang penjual senjata kepada penyamun jalanan. Bersesuaian dengan sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam: Sesiapa yang membantu kemaksiatan walau dengan separuh kalimah, maka ia termasuk bersekutu dalam kemaksiatan itu."
Seterusnya Imam Al-Ghazali menyebut pula ganjaran bagi mereka yang mempunyai niat yang betul dalam mencari ilmu dengan kata-katanya:
"Dan jika niat dan tujuanmu antaramu dengan Allah dalam mencari ilmu, adalah untuk mencapai hidayah, bukan semata-mata bermegah dengan riwayat, maka bergembiralah, kerana sesungguhnya para malaikat melebarkan sayapnya ketika kamu berjalan, dan hidupan di laut mendoakan keampunan bagimu dalam setiap langkahmu."
InsyaAllah huraian bagi kitab ini ana akan sambungkan lagi di masa akan datang. Ini kerana melihat kepada peri pentingnya niat dan tujuan seorang pencari ilmu. Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang, yang mana kita lihat betapa banyak kecelaruan yang timbul dalam masyarakat kerana ilmu agama yang tidak dipelajari dengan niat yang betul dan suci. Terdapat beberapa lagi aspek yang disebutkan oleh Imam Ghazali berkaitan permulaan jalan mendapatkan hidayah Allah ini, yang amat relevan dengan kita semua.
Beberapa orang adik-adik meminta ana memulakan pengajian kitab ini di rumah ana, dalam masa terdekat ini. Walaupun ana bukanlah orang yang layak untuk membicarakan mutiara Imam Ghazali yang amat bernilai ini, InsyaAllah ana akan cuba sedaya mampu, agar sama-sama mendapat faedah dan rahsia-rahsianya, dalam mencari hidayah Allah.
Semoga Allah membetulkan niat kita dalam apa jua gerak geri dan perbuatan kita ikhlas hanya kerana-Nya. Amiin